20080402

SMRA Rantau, ketiga dan keempat kejohanan bola tampar peringkat Seremban Timur!

Rabu, April 2, 2008 - Pasukan bola tampar SMRA Rantau memberikan kejutan yang tidak pernah diduga oleh sesiapa pun. Pada kemunculan sulungnya dalam kejohanan bola tampar MSSM peringkat Seremban Timur yang hanya menghantar pasukan bawah 15 tahun bagi kedua-dua kategori lelaki dan perempuan, SMRA Rantau telah berjaya merangkul tempat ke-3 bagi pasukan perempuan bawah 15 tahun dan tempat ke-4 bagi pasukan lelaki bawah 15 tahun.

Apa yang menjadikan kejayaan ini lebih manis ialah, tiga orang pemain SMRA Rantau telah dipilih untuk mewakili daerah Seremban Timur dalam kejohanan bola tampar peringkat Negeri Sembilan yang akan datang. Mereka terdiri daripada Nurul Najwa binti Ujang (Tingkatan 1), Siti Nur Suzzana (Tingkatan 3) dan Mohd Bashori Abd Roqies (Tingkatan 3).

Hal ini merupakan satu pencapaian yang hebat, mengagumkan dan layak mendapat pujian yang tinggi. Dengan hanya latihan selama sebulan serta objektif awal yang hanya mahu mencuba dan menimba pengalaman, tiada seorang pun yang menyangka, termasuk jurulatih dan pengurus pasukan, bahawa SMRA Rantau dapat pergi sejauh ini dalam kemunculan sulungnya di arena bola tampar.

Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah nama SMRA Rantau telah berjaya dikenali di peringkat yang lebih tinggi. Bukan sahaja lebih dikenali, malah satu nama yang langsung tidak akan dipandang remeh oleh pasukan-pasukan sekolah lain yang lebih lama dan berpengalaman dalam arena bola tampar ini. SMRA Rantau bukan lagi sebuah sekolah terpencil yang jarang didengari namanya, tetapi nama yang bakal disebut-sebut oleh sekolah-sekolah lain, sama ada oleh sebab prestasinya, atau pun sebuah pasukan yang ingin ditewaskan oleh pasukan-pasukan yang telah kecundang dengannya dalam kejohanan yang lalu.

Selain itu, apa yang menjadi kebanggaan ialah ketika mendengar cakap-cakap belakang dan suara-suara kecil yang terpegun dan kagum dengan prestasi pemain-pemain SMRA Rantau. Antaranya ialah pengadil perlawanan dan guru-guru sekolah lain, terutamanya dua orang guru lelaki dari Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR).

"(Hantaran) Bola yang dibagi (dibuat oleh) budak sekolah agama Rantau bagus-bagus..."
Pengadil perlawanan

"Budak-budak (pemain-pemain) sekolah agama Rantau main (dengan) bagus, cuma tak tahan tekanan, mungkin sebab ini kali pertama main (di) peringkat ni, tapi ini dah kira cukup baik dah ni..."
Guru Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR)

"Wah, boleh tahan jugak ya budak (pemain-pemain) sekolah agama (Rantau). First time masuk (bertanding) pun dah boleh (mara) jauh sampai macam ni..."
En. Juzmi, MSSM

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa SMRA Rantau telah berjaya membuka mata banyak pihak tentang betapa sebuah sekolah agama mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan-pasukan sekolah lain. Kini, nama SMRA Rantau menjadi lebih dihormati dan digeruni di arena bola tampar.

Apa yang diharapkan ialah agar SMRA Rantau dapat mengekalkan prestasi dan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang. Siapa tahu, SMRA Rantau mampu bergelar juara di peringkat Seremban Timur pada masa akan datang? Tunggu dan lihat sahaja. SMRA Rantau sekali lagi akan menggegar arena bola tampar negeri.

Jika anda mempunyai sebarang idea yang baik untuk membantu SMRA Rantau merealisasikan impian ini, atau anda ingin menyumbang dalam apa saja bentuk sumbangan, keprihatinan anda amat kami hargai dan alu-alukan. Untuk makluman lanjut, anda boleh berhubung dengan Pengetua SMRA Rantau di alamat dan nombor talian yang diberikan.