20080401

Pasukan bola tampar perempuan bawah 15 tahun SMRA Rantau 2008

Pemain-pemain bola tampar perempuan bawah 15 tahun SMRA Rantau


Atikah The Destroyer

Nor Atikah binti Khairi
ialah kapten pasukan bola tampar perempuan bawah 15 tahun SMRA Rantau 2008. Strateginya banyak membantu pasukan untuk memusnahkan kubu lawan. Gelaran The Destroyer (Pemusnah) amat sesuai untuknya, bukan saja dengan strateginya yang sukar diramal, service bolanya juga yang tidak dapat dibaca sifatnya oleh pihak lawan. Hal ini menyebabkan pihak lawan langsung tidak dapat mengagak bola yang akan dihantar oleh Atikah. Pemain-pemain pasukan lawan hanya mampu memandang bola yang menerjah kawasan mereka hasil hantaran Atikah, tidak berdaya untuk melakukan apa-apa.


Athirah The Fortress

Athirah binti Husain
diletakkan di posisi tengah-belakang untuk memperkukuh benteng pasukan. Athirah menjaga base-line gelanggang dengan amat baik sekali hingga pasukan lawan merasa tidak selamat langsung untuk menghantar bola kepadanya. Hal ini menunjukkan gelaran The Fortress (Pelindung Yang Kukuh) memang sesuai dengan Athirah. Selain itu, service bola oleh Athirah juga amat menyeramkan dengan keadaan bola yang tinggi dan pancungan yang menjunam menyebabkan pasukan lawan menganggap beliau ialah Sledge Hammer pasukan.


Afiqah The Chaos Maker

Jurulatih dan pengurus pasukan memang tidak sabar-sabar untuk menunggu dan melihat hantaran bola oleh Norafiqah binti Alias. Keadaan mungkin adalah sebaliknya bagi pasukan lawan yang sentiasa berharap Afiqah tidak menghantar bola kepada mereka. Hal ini demikian kerana Afiqah mampu menghasilkan hantaran bola yang bakal mengkucar-kacirkan pasukan lawan. Bukan sedikit keadaan kucar kacir yang dialami oleh pasukan lawan kerana apabila bola yang dihantar oleh Afiqah sampai, mereka menjadi kebingungan, terjatuh ketika menyambut bola, bola bolos ketika disambut, pemain-pemain terkeluar dari posisi dan hantaran balas bola yang tidak tentu arah. Afiqah memang The Chaos Maker (Pengacau Bilau) yang hebat.


Suzzana The Bomber
(Terpilih sebagai calon pemain pasukan bola tampar Seremban Timur)

Gelaran The Bomber (Pengebom) diberikan kepada Siti Nur Suzzana binti Muhrin kerana sifat bolanya yang naik tinggi untuk mengelirukan pihak lawan, dan jatuh pada kelajuan yang tinggi, seperti sebiji bom yang dilepaskan oleh pesawat pengebom. Hanya dua keadaan yang boleh dipilih oleh pasukan lawan ketika cuba menyambut bola hantaran Suzanna; pertama, bertungkus lumus menyambut bola itu yang bagaikan mencari nahas dan tidak akan dapat disudahkan dengan baik, dan yang kedua, hanya membiarkan bola itu menghentam lantai serta menjadikan mereka ketinggalan satu mata lagi di belakang SMRA Rantau.


Najwa The Killer
(Terpilih sebagai calon pemain pasukan bola tampar Seremban Timur)

Tiada gelaran lain yang paling sesuai untuk diberikan kepada Nurul Najwa binti Ujang selain The Killer (Bola Pembunuh). Service bolanya mempunyai aura yang sangat kuat untuk membunuh keupayaan, pertahanan dan motivasi pihak lawan. Mengapa? Hal ini demikian kerana bola yang dihantar oleh Najwa akan bergerak betul-betul melewati jaring, pada kelajuan yang sangat tinggi dan terus menghentam kawasan berdekatan dengan base lain. Tidak ubah seperti sebuah peluru berpandu yang telah ditetapkan sasarannya. Apakah yang dirasai pihak lawan? Mereka hanya berdoa bola itu tidak terkena muka mereka dan merasa lebih selamat untuk membiarkan sahaja bola pancung hantaran Najwa.


Rohayu The Phantom

Rohayu binti Arifin
ialah seorang pemain yang amat dikagumi kebolehannya sehingga pengurus pasukan amat pasti yang jurulatih utama juga menghadapi masalah untuk menyambut service bola hantaran Rohayu. Gelaran The Phantom (Bola Hantu) amat sesuai untuknya kerana sifat bolanya yang naik pada kedudukan yang sangat tinggi (paling tinggi antara pemain-pemain) dan jatuh menjunam. Walau bagaimanapun, junaman itu bukan junaman biasa kerana trajektori bola seolah-olah berubah semasa berada di udara sehingga kebanyakan pemain lawan langsung tidak berdaya untuk menyambut bola hantaran Rohayu, oleh sebab agakan ambilan bola yang silap. Mungkinkah bola itu samar-samar ketika di udara, atau menjana imej tambahan sehingga menjadikannya sangat mengelirukan? Mungkin, kerana Rohayu mampu memberikan lebih daripada 5 mata straight untuk pasukan hanya dengan service bolanya.


Anisah The Mind Immobilizer

Misteri ini masih tidak dapat difahami oleh pengurus pasukan oleh sebab keupayaan yang dimiliki oleh Anisah binti Aziz. Beberapa bola hantarannya mungkin kelihatan biasa, namum tatkala bola menerjah kubu lawan, pemain pasukan lawan seolah-olah dikakukan sehingga tiada seorang pun yang bergerak dan bertindak untuk menyambut bola hantaran Anisah. Bertepatan dengan gelarannya The Mind Immobilizer (Penghenti Minda), minda pemain-pemain pasukan lawan seolah-olah dikakukan daripada bertindak. Kadang kala, ada pemain yang cuba menyambut bola hantaran Anisah dan kelihatannya cukup bersedia, namun bola terus bolos di celah kedua-dua tangan, gagal disambut.


Azwa The Defender

Apabila Nurzatul Azwa binti Yuzaimi masuk ke gelanggang, posisi yang diisinya terasa kebal. Hal ini demikian Azwa dengan mudah menggagalkan sebaran hantaran bola ke kawasannya. Azwa memang The Defender (Pelindung) yang hebat. Bagilah apa saja hantaran bola, hampir semuanya akan disambut kemas dengan senyuman di wajahnya. Tidakkan hal ini hanya menambahkan rasa sakit dan tidak berdaya kepada pasukan lawan? Pasukan lawan merasakan posisi Azwa dan kawasan jagaannya seperti sebuah kubu kebal yang memang tidak akan dapat ditembusi. Disebabkan itu jugalah, Azwa dianggap Claw Hammer pasukan oleh pasukan lawan.


Sarwah The Hidden Ghost

Sarwah Mukminah binti Moh Shin
mempunyai keupayaan melindungkan aura dirinya di sebalik sikapnya yang periang. Apabila beliau masuk ke gelanggang, ada pemain lawan yang tersenyum sinis. Walau bagaimanapun, mereka mungkin amat menyesal selepas itu kerana Sarwah mampu menghasilkan gerakan yang mengagumkan sehingga tiada siapa yang dapat menduga gerakan itu termasuk pengurus pasukan dan jurulatih utama. Tatkala pasukan dihujani tekanan, Sarwah akan bertindak untuk meletakkan pasukan kembali di hadapan. Gelaran The Hidden Ghost (Hantu Tersembunyi) memang kepunyaan Sarwah kerana jika auranya dilepaskan, pasukan lawan hanya mampu menggeletar melihat bola hantarannya.


Pengurus pasukan / Jurulatih:
En. Mohd Amirul Aizat bin Mohd Paiz