Setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan, umat Islam menyambut 1 Syawal dengan gembira. Hari Raya Aidilfitri disambut oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa atau kaum, malah agama sekalipun. Inilah hari kemenangan bagi umat Islam. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak tahu dan tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan 'kemenangan' itu. Ada yang menganggap kemenangan itu ialaha kemenangan oleh sebab kejayaan menamatkan puasa selama sebulan. Ada juga yang merasakan kepuasan oleh sebab kejayaan bersolat Tarawikh dengan penuh pada bulan Ramadan. Benar, semua itu adalah kemenangan. Walau bagaimanapun, apa yang paling penting ialah bagaimana kita berubah daripada seorang hamba yang beriman kepada Allah sebelum Ramadan kepada seorang hamba yang lebih beriman kepada Allah. Walaupun perubahan yang sedikit, itu tetap kejayaan dan kemenangan. Jika dahulu kita selalu lambat masuk kerja, kita menang jika kita mula datang kerja tepat atau lebih awal daripada waktunya. Jika dahulu kita selalu tidak masuk mengajar atau lambat masuk ke kelas, kita menang jika kita mula masuk mengajar dan masuk ke kelas tepat pada waktunya dengan amanah. Jika kita dahulu selalu berhati tidak baik pada orang lain, dengki, iri hati, bermulut jahat dan sering menyakiti hati orang lain, kita telah menang jika kita telah mengurangkan sifat-sifat mazmumah itu atau terus menghapuskannya langsung. Inilah erti kemenangan dan kenikmatan yang sebenarnya. Di sinilah letaknya erti latihan Ramadan yang telah kita lalui selama sebulan.
Seminggu selepas sekolah bermula semula, pelajar-pelajar Tingkatan 3 di seluruh Malaysia telah menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008. Hal ini tidak terkecuali pada pelajar-pelajar tingkatan 3 SMRAR yang juga adalah calon-calon PMR 2008 SMRAR. Setelah tiga tahun menimba ilmu dan mengharungi segala cabaran dan rintangan, akhirnya peperiksaan ini tiba untuk menguji dan menilai para pelajar sebagai persediaan untuk ke peringkat pembelajaran yang lebih tinggi. Usaha terakhir yang dibuat ialah melalui kerjasama antara pihak sekolah dengan PIBG SMRAR yang mengadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin bagi calonn-calon PMR 2008 SMRAR. Dengan penuh harapan oleh para pelajar sendiri, ditambah dengan harapan menggunung ibu bapa dan guru, warga SMRAR berdoa kepada Allah semoga calon-calon PMR 2008 SMRAR diberikan kemudahan untuk menduduki peperiksaan PMR 2008 dengan baik dan memperoleh keputusan yang membanggakan.
Sebaik sahaja peperiksaan PMR 2008 tamat, Peperiksaan Akhir Tahun 2008 (PAT2008) pun tiba sebagai medan ujian dan penilaian bagi pelajar-pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 2. Pada waktu inilah, segala apa yang telah dipelajari akan diuji dan dinilai bagi melihat prestasi pelajar serta kemampuan masing-masing dalam pembelajaran. PAT2008 yang berlangsung selama seminggu telah bermula pada 20 Oktober 2008 (Isnin) dan tamat pada 24 Oktober 2008 (Jumaat). Kami guru-guru SMRAR sentiasa memberkati segala ilmu yang telah disampaikan dan berdoa agar para pelajar berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Semoga berjaya!
SMRAR tidak akan berehat lagi walaupun segala acara besar telah tamat. Dengan minggu persekolahan berbaki lebih kurang satu bulan, pelbagai aktiviti telah disediakan oleh pihak sekolah bagi menjadikan waktu terluang ini lebih bermakna sebelum para pelajar mula bercuti panjang. Antaranya ialah program-program ceramah, sukan dan permainan, sukaneka, pertandingan tarian tradisional, dan macam-macam lagi.
Walau bagaimanapun, acara yang paling ditunggu-tunggu ialah Lawatan Sambil Pelajar anjuran pihak sekolah ke Pulau Langkawi. Lawatan ini yang disertai oleh pelajar-pelajar tingkatan 3 dan beberapa orang guru akan bertolak pada 8 November 2008 jam 10.00 malam dan kembali ke SMRAR 3 hari selepas itu. Antara guru-guru yang terlibat dengan program lawatan tersebut ialah Puan Pengetua SMRAR, Pn. Noormaah binti Mansor, Guru Penyelaras Kokurikulum, Pn. Norliza binti Musa, Pn. Rohana binti Ibrahim, En. Mohd Faizal bin Zainal dan En. Mohd Anwar bin Jahaya. Program lawatan sambil belajar ini ialah kali yang ke-3 pada tahun 2008 ini, selepas lawatan ke Kilang Yakult, Seremban, Negeri Sembilan dan lawatan ke Kuala Lumpur City Center (KLCC), Kuala Lumpur sebelum ini. Semoga lawatan ini dapat memberikan manfaat yang banyak kepada para pelajar dan guru-guru pengiring.
Sempena bulan Syawal yang masih ada, tidak terlambat rasanya untuk pihak pentadbir laman web Sekolah Menengah Rendah Agama Rantau (SMRAR) untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin kepada semua umat Islam amnya, dan kepada warga SMRAR khasnya.