20080204

Lawatan sambil belajar ke Yakult dan Muzium Negeri Sembilan

Rabu, 30 Januari 2008 - Sekolah Menengah Rendah Agama Rantau telah membuat lawatan sambil belajar ke kilang Yakult, Seremban dan Muzium Negeri Sembilan, Seremban. Rombongan lawatan yang disertai oleh semua pelajar yang berjumlah 85 orang termasuk 4 orang guru pengiring itu bertolak dari sekolah dengan menaiki dua buah bas.

Yakult (Malaysia),
Seremban, Negeri Sembilan

Destinasi pertama ialah ke kilang Yakult, Seremban. Kilang ini merupakan satu-satunya kilang Yakult di Malaysia. Yakult ialah sejenis minuman probiotics yang mengandungi kultur-kultur hidup. Minuman ini semakin popular dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada seluruh rakyat Malaysia.

Apabila tiba di sana, rombongan dijemput ke bilik tayang untuk menyaksikan tayangan maklumat berkenaan dengan Yakult. Di sini, rombongan diberikan penerangan tentang asal usul Yakult; penciptanya, negara asalnya, kepentingan probiotics, amalan kesihatan dan sebagainya. Apa yang menarik, rombongan juga diberikan minuman Yakult sebotol seorang secara percuma.

Sebahagian mesin pemprosesan di
kilang Yakult (Malaysia), Seremban, Negeri Sembilan


Setelah sesi tayangan berakhir, rombongan dibawa melawat bahagian pemprosesan minuman di kilang tersebut. Kelihatanlah satu siri pemprosesan yang hampir 95% dibantu oleh mesin. Mesin yang digunakan sangat cekap dan amat sedikit tenaga kerja manusia yang terlibat. Maka, tidak hairanlah Yakult (Malaysia) mampu menghasilkan produk sehingga mencecah 110,000 botol sehari. Dan, jika kadar pemprosesannya digandakan, Yakult (Malaysia) mampu menghasilkan produk sehingga 700,000 unit sehari!

Kilang Yakult (Malaysia) di Seremban, Negeri Sembilan

Rombongan meninggalkan kilang Yakult dengan seribu kepuasan, antaranya ialah disebabkan pendedahan pelbagai jenis maklumat yang sangat berharga dan tidak mudah untuk diperoleh. Dengan matahari yang semakin meninggi, rombongan membuat keputusan untuk bersarapan pagi terlebih dahulu sebelum bergerak ke destinasi seterusnya. Jusco Seremban dipilih sebagai lokasi untuk bersarapan dan dengan segera, rombongan bergerak ke sana.

Setelah menikmati sarapan masing-masing, rombongan bergerak ke destinasi seterusnya yang juga destinasi terakhir lawatan iaitu ke Muzium Negeri Sembilan, Seremban. Kehadiran rombongan disambut dengan penuh mesra oleh pegawai muzium dan rombongan diberikan kebebasan untuk melawat segala bahan sejarah di dalam dan di luar muzium. Tanpa mensia-siakan peluang yang diberikan, rombongan berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil dan terus melihat-lihat bahan-bahan sejarah negeri yang tidak ternilai harganya. Sikap kerjasama pegawai muzium amat dihargai kerana rombongan juga diberikan kebebasan untuk mengambil gambar.

Muzium Negeri Sembilan

Monumen replika yang terdapat di Muzium Negeri Sembilan

Istana Ampang Tinggi

Rumah Negeri Sembilan

Apabila jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari, rombongan mengambil keputusan untuk berangkat pulang ke sekolah. Sebelum bertolak pulang, rombongan mengambil beberapa keping gambar berlatar belakangkan Muzium Negeri Sembilan untuk disimpan sebagai kenang-kenangan.

Bergambar berlatar belakangkan Muzium Negeri Sembilan

Rombongan telah selamat sampai ke sekolah pada pukul 1.30 tengah hari.