Ogos 6, 2008, Rabu - Inilah hari yang paling ditunggu-tunggu oleh semua pelajar Tingkatan 1 dan 2 Sek. Men. Ren. Agama Rantau (SMRAR). Pada hari berkenaan, SMRAR telah menganjurkan Lawatan Sambil Belajar ke PetroSains & Jejantas Udara KLCC, Kuala Lumpur. Sebelum itu, sekalung tahniah dan terima kasih kepada Pn. Rokhaiza binti Abd. Razali, Pn. Rozita binti Md. Masrom dan En. Mohd Faizal bin Zainal atas usaha mereka selama berminggu-minggu sebelum hari lawatan, demi menjadikan lawatan ini berhasil dan sempurna. Juga, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Puan Pengetua SMRAR, Pn. Noormaah binti Hj. Mansor atas usaha beliau untuk membantu merealisasikan program lawatan sambil belajar ini. Terima kasih diucapkan.
Tibalah hari yang ditunggu-tunggu, 6 Ogos 2008 (Rabu), pelajar-pelajar SMRAR hadir ke sekolah dengan semangat yang luar biasa. Hal ini ditambah pula dengan penampilan kemas para pelajar yang diluar jangkaan. Tahniah diucapkan kepada para pelajar SMRAR dan adalah diharapkan agar penampilan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Setelah semuanya hadir, Pn. Rokhaiza memberikan taklimat ringkas kepada semua pelajar. Pn. Rozita pula meneruskan tanggungjawabnya tanpa lengah dengan dibantu Pn. Nazlin Harna untuk memeriksa kehadiran para pelajar. En. Mohd Faizal pula melaksanakan tugas kewangan sebagai bendahari program dengan sangat cekap dan efisyen. Pn. Rohana dan Pn. Norliza juga turut membantu untuk memerhati serta memantau keadaan dan persiapan para pelajar sebelum bertolak. Walau bagaimanapun, agak mendukacitakan apabila Puan Pengetua SMRAR, Pn. Noormaah binti Hj. Mansor, yang pada awal sepatutnya turut serta dalam rombongan, tidak dapat hadir oleh sebab untuk menguruskan hal yang lebih penting.
Taklimat telah diselesaikan dan pemeriksaan kehadiran juga telah dilaksanakan. Rombongan bergerak dengan wajah yang ceria dan berseri-seri ke perhentian bas di pintu masuk sekolah. Sebuah bas sekolah berwarna kuning telah sedia menunggu di hadapan. Para pelajar Tingkatan 2 diberikan arahan untuk naik dahulu ke bas sekolah yang tersedia sementara pelajar-pelajar Tingkatan 1 menaiki bas yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Rombongan bergerak meninggalkan perkarangan sekolah dan menuju ke Kuala Lumpur. Dengan hanya memakan masa lebih kurang satu jam, rombongan tiba di Kuala Lumpur City Center (KLCC) pada pukul 9.00 pagi. Tersergamlah Menara Berkembar Petronas (Petronas Twin Towers) yang menjadi kebanggaan Malaysia sebagai antara bangunan tertinggi di dunia. Menara Berkembar Petronas juga pernah dicalonkan dalam pemilihan 7 Keajaiban Dunia (World's 7 Wonders) yang baru.
Keriangan tidak berbelah bagi yang terpancar pada wajah-wajah para pelajar SMRAR di perkarangan KLCC, Kuala Lumpur.
Seperti yang dipesan, pelajar-pelajar mengeluarkan bekalan masing-masing untuk mengalas perut sebagai sarapan pagi. Rombongan menikmati sarapan pagi di perkarangan luar KLCC. Terima kasih diucapkan kepada Pn. Nazlin Harna, Pn. Rohana, Pn. Norliza dan Pn. Rozita atas kesudian membawa bekalan lebih untuk semua guru. Tidak lupa juga terima kasih diucapkan kepada pelajar-pelajar berikut; Umi Kalsom (T2), Nor Atikah Soib (T2) serta lain-lain yang turut sudi berkongsi bekalan mereka dengan guru-guru. Terima kasih diucapkan.
Tepat jam 10.45 pagi, para pelajar dihimpunkan dan rombongan bergerak ke dalam Suria KLCC untuk ke PetroSains. Sesungguhnya tersangat banyak pengetahuan dan ilmu yang terdapat di dalam PetroSains sehingga tidak dapat diceritakan dengan lebih lanjut di sini. Cukuplah dikatakan bahawa masa 3 jam yang diberikan masih tidak memadai bagi rombongan untuk menikmati kekayaan khazanah ilmu pengetahuan yang terkandung di dalam PetroSains. Oleh sebab masa yang sentiasa mencemburui manusia, rombongan terpaksa melangkah keluar dari PetroSains dengan hati yang berat pada pukul 2.00 petang.
En. Mohd Faizal sedang menjalani latihan untuk menjadi angkasawan Malaysia dalam misi angkasa Malaysia ke Matahari pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri nanti.
En. Mohd Amirul Aizat telah tiba ke PetroSains dengan kuasa pemecahan molekul untuk membawa pulang pelajar-pelajar di dalam gambar kerana tidak dapat menjawab soalan Sains yang ditanya di dalam kelas.
Latihan Balik-Ke-Kampung-Segera untuk En. Mohd Faizal, khusus untuk beliau setelah misi ditamatkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Simbol 'Peace' yang sentiasa dibawa oleh Naielah Alfarafishah (T2) dalam setiap gambarnya menampilkan misi yang jelas untuk keamanan sejagat yang dibawa olehnya.
Tanpa melengahkan masa, rombongan menikmati makanan tengah hari di Kentucky Fried Chicken (KFC). Setengah jam masa makan, rombongan terus menunaikan kewajipan solat Zohor di masjid yang berdekatan.
Jam 2.50 petang, rombongan berkumpul semula dan bergerak ke ruang legar Menara Berkembar Petronas. Dengan hidangan tayangan video tiga dimensi (3-D), rombongan dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengan diiringi guru pengiring dan dibantu oleh pembantu untuk naik ke Jejantas Udara (Skybridge) Menara Berkembar Petronas.
Kumpulan 'Tag Biru' bergambar kenangan di Jejantas Udara Menara Berkembar Petronas, bakal pelapis pemimpin-pemimpin Malaysia suatu hari nanti.
Kumpulan 'Tag Hijau' juga bergambar kenangan di Jejantas Udara Menara Berkembar Petronas sebelum meneruskan tugasan pembersihan tingkap menara. (*Dikecualikan pada ahli yang tidak beruniform sekolah.)
Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur dari Jejantas Udara, Tingkat 41, Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, Malaysia.
Semasa berada di Jejantas Udara Menara Berkembar Petronas, dapatlah dilihat kepadatan bandaraya Kuala Lumpur. Di situlah menjelmanya rasa bangga menjadi anak Malaysia, negara bertuah yang kaya dengan hasil bumi, keselamatan yang dijamin, keamanan yang pasti dan kemakmuran rakyat dan negara. Semuanya adalah kurniaan Allah kepada rakyat Malaysia, melalui kecekapan dan usaha keras pemimpin-pemimpin Malaysia yang tidak jemu-jemu memikirkan perkara yang terbaik untuk rakyatnya. Bersyukurlah kepada Allah kerana kita dilahirkan sebagai anak Malaysia, insyaAllah, akan Allah limpahkan rezeki dan tambahkan nikmatNya kepada kita semua. Janganlah kita kufur kerana azab Allah itu amat pedih.
Jam 4.25 petang, rombongan menamatkan lawatan dan segera turun untuk ke tempat bas menunggu. Rombongan meninggalkan perkarangan KLCC sebelum pukul 5.00 petang, berhenti untuk menunaikan solat Asar di Hentian Rehat & Rawat (R & R) Seremban dan meneruskan perjalanan pulang ke sekolah. Alhamdulillah.