Mei 15, 2008 - Peperiksaan pertengahan tahun 2008 bermula di Sek. Men. Ren. Agama Rantau. Para pelajar yang telah mula mengulang kaji pelajaran masing-masing seawal dua minggu yang lalu kini mula menterjemah usaha mereka untuk melihat kemampuan mereka setelah hampir setengah tahun berlalu.
Peperiksaan pertengahan tahun 2008 ini bermula pada 15 Mei 2008 (Khamis), berlangsung selama satu minggu dan dijadualkan berakhir pada 22 Mei 2008 (Khamis) minggu hadapan. Para pelajar akan menduduki kertas-kertas peperiksaan untuk sembilan mata pelajaran; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Matematik, Sejarah, Sains, Geografi, Kemahiran Hidup Bersepadu dan Pendidikan Islam.
Pada hari pertama, kertas Bahasa Melayu dan Sejarah telah dilangsungkan. Peperiksaan ditangguhkan pada hari Jumaat untuk memberikan laluan kepada sambutan Hari Guru 2008 peringkat sekolah Sek. Men. Ren. Agama Rantau pada 16 Mei 2008 (Jumaat). Oleh sebab sambutan Hari Wesak yang diadakan pada 19 Mei 2008 (Isnin), peperiksaan dijadualkan bermula semula pada 20 Mei 2008 (Selasa).
Warga pendidik S.M.R.A. Rantau mengucapkan selamat menduduki peperiksaan dan selamat berjaya kepada semua pelajar S.M.R.A. Rantau. Kami sentiasa mendoakan kecemerlangan anda semua.