20080516

Hari Guru 2008 SMRA Rantau

Mei 16, 2008 - Seperti setiap tahun sebelumnya, tarikh 16 Mei merupakan hari warga pendidik di seluruh Malaysia diraikan. Bagi sekolah-sekolah seluruh Malaysia, tidak ketinggalan juga Sek. Men. Ren. Agama Rantau, Hari Guru disambut dengan sederhana tetapi meriah.

Majlis dimulakan dengan pembacaan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sempena Hari Guru 2008 oleh Puan Noormaah binti Hj. Mansor, Pengetua Sek. Men. Ren. Agama Rantau. Dengan tema "Guru Cemerlang Negara Terbilang", perutusan yang disampaikan memberikan satu suntikan semangat kepada barisan pendidik S.M.R.A. Rantau untuk bekerja lebih gigih dan bersungguh-sungguh demi anak bangsa yang bakal menjadi peneraju agama, bangsa dan negara pada masa akan datang.

Seperti tahun kebelakangan, pelbagai acara berbentuk sukaneka diadakan untuk merapatkan lagi hubungan antara guru-guru dan para pelajar. Pada hari ini juga pelajar diberikan kesempatan untuk beramah mesra dan mengenal guru-guru mereka dengan lebih baik disamping meraikan mereka. Ternyata pelajar-pelajar S.M.R.A. Rantau adalah pelajar yang baik dan sangat menghargai guru-guru mereka. Hal ini dibuktikan dengan acara-acara yang diadakan dengan satu tujuan, untuk meraikan guru-guru mereka pada hari yang penting ini.

Persembahan nyanyian pelajar Tingkatan 2

Persembahan drama pelajar Tingkatan 2

Di samping itu, para ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar S.M.R.A Rantau menjadikan Hari Guru pada tahun ini lebih bermakna dengan keraian yang diadakan. Apabila tiba masa jamuan, hidangan sudah tersedia dan guru-guru dilayan seperti orang yang sangat mulia. Memang amat terharu melihatkan ketinggian budi pekerti para ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar S.M.R.A. Rantau dan perkara inilah yang membuatkan warga S.M.R.A. Rantau keseluruhannya adalah warga yang istimewa.

Pada bahagian akhir majlis, agenda majlis diteruskan di dalam dewan dengan sesi Soal-Jawab-Hadiah dan pertukaran hadiah antara guru-guru. Hal ini menyemai rasa rendah diri, saling menghargai antara satu sama lain dan keperluan dalam kerja berpasukan untuk mendidik anak bangsa sehingga menjadi warganegara Malaysia yang berguna dan berkualiti.

Majlis ditutup dengan nyanyian lagu "Guru Malaysia" oleh guru-guru dan pembacaan ikrar Hari Guru yang diketuai oleh En. Mohd Amirul Aizat bin Mohd Paiz.

Nyanyian "Guru Malaysia" oleh guru-guru

Ikrar Hari Guru

Apa pun, Hari Guru 2008 yang disambut di Sek. Men. Ren. Agama Rantau pada tahun ini adalah hari yang meriah dan sangat bermakna. Walau bagaimanapun, bukanlah keraian itu yang diharapkan oleh warga pendidik. Tiada hadiah yang paling bermakna bagi seseorang guru melainkan melihat anak muridnya berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran dan sahsiah, serta menjadi seorang Islam yang taat pada agamanya, bangsa yang kukuh jati dirinya dan warganegara Malaysia yang berkualiti dan berbakti.

Kami warga pendidik Sek. Men. Ren. Agama Rantau sentiasa mendoakan semua pelajar-pelajar di Malaysia amnya, pelajar-pelajar Melayu Islam khasnya dan yang paling utama; semua pelajar-pelajar dan bekas pelajar Sek. Men. Ren. Agama Rantau, mencapai kejayaan dalam hidup, di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.



Peperiksaan Pertengahan Tahun 2008

Mei 15, 2008 - Peperiksaan pertengahan tahun 2008 bermula di Sek. Men. Ren. Agama Rantau. Para pelajar yang telah mula mengulang kaji pelajaran masing-masing seawal dua minggu yang lalu kini mula menterjemah usaha mereka untuk melihat kemampuan mereka setelah hampir setengah tahun berlalu.


Peperiksaan pertengahan tahun 2008 ini bermula pada 15 Mei 2008 (Khamis), berlangsung selama satu minggu dan dijadualkan berakhir pada 22 Mei 2008 (Khamis) minggu hadapan. Para pelajar akan menduduki kertas-kertas peperiksaan untuk sembilan mata pelajaran; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Matematik, Sejarah, Sains, Geografi, Kemahiran Hidup Bersepadu dan Pendidikan Islam.


Pada hari pertama, kertas Bahasa Melayu dan Sejarah telah dilangsungkan. Peperiksaan ditangguhkan pada hari Jumaat untuk memberikan laluan kepada sambutan Hari Guru 2008 peringkat sekolah Sek. Men. Ren. Agama Rantau pada 16 Mei 2008 (Jumaat). Oleh sebab sambutan Hari Wesak yang diadakan pada 19 Mei 2008 (Isnin), peperiksaan dijadualkan bermula semula pada 20 Mei 2008 (Selasa).

Warga pendidik S.M.R.A. Rantau mengucapkan selamat menduduki peperiksaan dan selamat berjaya kepada semua pelajar S.M.R.A. Rantau. Kami sentiasa mendoakan kecemerlangan anda semua.