20080415

Rantau, Negeri Sembilan Darul Khusus

Kedudukan Rantau dalam peta
Negeri Sembilan Darul Khusus


Peta 1
Klik pada peta untuk paparan lebih besar


Peta 2
Klik pada peta untuk paparan lebih besar


Peta diambil dari laman: ExpatKL (www.expatkl.com)



20080414

Hebahkan kewujudan kami kepada semua!

Assalamualaikum.

Pihak pentadbir (administrator) laman Sek. Men. Ren. Agama Rantau mengucapkan selamat datang kepada semua pelawat yang tiba di laman kami dan terima kasih atas segala cadangan/idea/komen yang diberikan. Kami amat-amat menghargainya! Terima kasih sekali lagi!

Alhamdulillah, Forum SMRA Rantau yang telah dilancarkan juga telah mula dilawati. Walaupun kebanyakan daripada mereka merupakan pelajar-pelajar SMRA Rantau sendiri, hal ini adalah penting dalam memperkenalkan teknologi berinternet dan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (Information & Communication Technologies / ICT) kepada remaja-remaja. Dengan ini, pelajar-pelajar dapat didedahkan dengan dunia forum; tempat yang menyediakan medium untuk mereka berbincang tentang pelbagai topik seperti pembelajaran, mata pelajaran, persatuan, sukan, badan beruniform dan macam-macam lagi. Dengan ini, pelajar-pelajar sekolah agama dapat dibawa menyelami arus kemodenan dan kecanggihan teknologi sekaligus menjadikan mereka tidak ketinggalan di belakang.

Dunia internet merupakan dunia tanpa sempadan. Dalam bidang apa pun, dalam dunia internet, untuk maju, seseorang perlu bersaing, sentiasa membaiki kelemahan untuk menjadi lebih baik serta berfikiran rasional, logik, kreatif dan kritis. Selain itu, kita juga perlu keluar daripada pemikiran dan ideologi yang sempit, menerima kelemahan diri sendiri dengan cara menerima cadangan/idea/komen/kritikan membina daripada orang lain. Kegagalan untuk mengadakan sikap-sikap berikut dalam diri kita hanya membawa kita ke arah kemunduran dan tidak berubah untuk menjadi lebih baik. Seperti simpulan bahasa, "Bagai katak di bawah tempurung".

Oleh itu, kami di SMRA Rantau sentiasa ingin berubah menjadi lebih baik. Pujian-pujian memang menyedapkan telinga mendengar. Secara jujur, kami lebih suka menerima cadangan/idea/komen malah kritikan, asalkan kritikan yang membina. Hal ini demikian kerana dengan cara inilah kami akan mengetahui kelemahan kami, membaikinya dan menjadikan kami lebih baik dari semasa ke semasa.

Untuk merealisasikan matlamat ini, pihak pentadbir SMRA Rantau mewujudkan medium yang sesuai untuk sesiapa sahaja, tidak kira peringkat umur, jantina, ideologi politik, bangsa dan agama untuk tujuan ini. Silalah lawati Forum SMRA Rantau untuk memberikan cadangan, berkongsi idea, memberi komen dan mengkritik asalkan niat anda untuk bersama-sama membantu kami untuk menjadi lebih baik.

Lawatilah Forum SMRA Rantau di

http://smrarantau.proboards51.com

Atau hebahkanlah kepada sesiapa sahaja tentang kewujudan kami di

20080406

Forum SMRA Rantau dilancarkan!

Untuk pengetahuan semua, laman SMRA Rantau sedang giat dibangunkan. Pelbagai maklumat terbaru dan menarik telah ditambah bagi menjadikannya lebih informatif.

Bagi merapatkan hubungan antara pelajar-pelajar, tenaga pengajar dan staf sekolah, pentadbir laman SMRA Rantau telah mewujudkan Forum SMRA Rantau. Forum ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim antara warga SMRA Rantau dalam usaha mewujudkan komuniti yang harmoni dan cemerlang.

Jadi, jika anda ialah warga SMRA Rantau, atau sesiapa sahaja di luar sana yang ingin bersama-sama dengan komuniti ini, sila lawati Forum SMRA Rantau. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah mendaftar sebagai ahli forum dengan memilih username dan mengemukakan alamat e-mel yang sah. Itu sahaja!

Apa yang ditunggu lagi? Lawatilah Forum SMRA Rantau sekarang! Jadilah ahli komuniti SMRA Rantau yang baik dan cemerlang!



20080402

SMRA Rantau, ketiga dan keempat kejohanan bola tampar peringkat Seremban Timur!

Rabu, April 2, 2008 - Pasukan bola tampar SMRA Rantau memberikan kejutan yang tidak pernah diduga oleh sesiapa pun. Pada kemunculan sulungnya dalam kejohanan bola tampar MSSM peringkat Seremban Timur yang hanya menghantar pasukan bawah 15 tahun bagi kedua-dua kategori lelaki dan perempuan, SMRA Rantau telah berjaya merangkul tempat ke-3 bagi pasukan perempuan bawah 15 tahun dan tempat ke-4 bagi pasukan lelaki bawah 15 tahun.

Apa yang menjadikan kejayaan ini lebih manis ialah, tiga orang pemain SMRA Rantau telah dipilih untuk mewakili daerah Seremban Timur dalam kejohanan bola tampar peringkat Negeri Sembilan yang akan datang. Mereka terdiri daripada Nurul Najwa binti Ujang (Tingkatan 1), Siti Nur Suzzana (Tingkatan 3) dan Mohd Bashori Abd Roqies (Tingkatan 3).

Hal ini merupakan satu pencapaian yang hebat, mengagumkan dan layak mendapat pujian yang tinggi. Dengan hanya latihan selama sebulan serta objektif awal yang hanya mahu mencuba dan menimba pengalaman, tiada seorang pun yang menyangka, termasuk jurulatih dan pengurus pasukan, bahawa SMRA Rantau dapat pergi sejauh ini dalam kemunculan sulungnya di arena bola tampar.

Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah nama SMRA Rantau telah berjaya dikenali di peringkat yang lebih tinggi. Bukan sahaja lebih dikenali, malah satu nama yang langsung tidak akan dipandang remeh oleh pasukan-pasukan sekolah lain yang lebih lama dan berpengalaman dalam arena bola tampar ini. SMRA Rantau bukan lagi sebuah sekolah terpencil yang jarang didengari namanya, tetapi nama yang bakal disebut-sebut oleh sekolah-sekolah lain, sama ada oleh sebab prestasinya, atau pun sebuah pasukan yang ingin ditewaskan oleh pasukan-pasukan yang telah kecundang dengannya dalam kejohanan yang lalu.

Selain itu, apa yang menjadi kebanggaan ialah ketika mendengar cakap-cakap belakang dan suara-suara kecil yang terpegun dan kagum dengan prestasi pemain-pemain SMRA Rantau. Antaranya ialah pengadil perlawanan dan guru-guru sekolah lain, terutamanya dua orang guru lelaki dari Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR).

"(Hantaran) Bola yang dibagi (dibuat oleh) budak sekolah agama Rantau bagus-bagus..."
Pengadil perlawanan

"Budak-budak (pemain-pemain) sekolah agama Rantau main (dengan) bagus, cuma tak tahan tekanan, mungkin sebab ini kali pertama main (di) peringkat ni, tapi ini dah kira cukup baik dah ni..."
Guru Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR)

"Wah, boleh tahan jugak ya budak (pemain-pemain) sekolah agama (Rantau). First time masuk (bertanding) pun dah boleh (mara) jauh sampai macam ni..."
En. Juzmi, MSSM

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa SMRA Rantau telah berjaya membuka mata banyak pihak tentang betapa sebuah sekolah agama mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan-pasukan sekolah lain. Kini, nama SMRA Rantau menjadi lebih dihormati dan digeruni di arena bola tampar.

Apa yang diharapkan ialah agar SMRA Rantau dapat mengekalkan prestasi dan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang. Siapa tahu, SMRA Rantau mampu bergelar juara di peringkat Seremban Timur pada masa akan datang? Tunggu dan lihat sahaja. SMRA Rantau sekali lagi akan menggegar arena bola tampar negeri.

Jika anda mempunyai sebarang idea yang baik untuk membantu SMRA Rantau merealisasikan impian ini, atau anda ingin menyumbang dalam apa saja bentuk sumbangan, keprihatinan anda amat kami hargai dan alu-alukan. Untuk makluman lanjut, anda boleh berhubung dengan Pengetua SMRA Rantau di alamat dan nombor talian yang diberikan.



20080401

Pasukan bola tampar perempuan bawah 15 tahun SMRA Rantau 2008

Pemain-pemain bola tampar perempuan bawah 15 tahun SMRA Rantau


Atikah The Destroyer

Nor Atikah binti Khairi
ialah kapten pasukan bola tampar perempuan bawah 15 tahun SMRA Rantau 2008. Strateginya banyak membantu pasukan untuk memusnahkan kubu lawan. Gelaran The Destroyer (Pemusnah) amat sesuai untuknya, bukan saja dengan strateginya yang sukar diramal, service bolanya juga yang tidak dapat dibaca sifatnya oleh pihak lawan. Hal ini menyebabkan pihak lawan langsung tidak dapat mengagak bola yang akan dihantar oleh Atikah. Pemain-pemain pasukan lawan hanya mampu memandang bola yang menerjah kawasan mereka hasil hantaran Atikah, tidak berdaya untuk melakukan apa-apa.


Athirah The Fortress

Athirah binti Husain
diletakkan di posisi tengah-belakang untuk memperkukuh benteng pasukan. Athirah menjaga base-line gelanggang dengan amat baik sekali hingga pasukan lawan merasa tidak selamat langsung untuk menghantar bola kepadanya. Hal ini menunjukkan gelaran The Fortress (Pelindung Yang Kukuh) memang sesuai dengan Athirah. Selain itu, service bola oleh Athirah juga amat menyeramkan dengan keadaan bola yang tinggi dan pancungan yang menjunam menyebabkan pasukan lawan menganggap beliau ialah Sledge Hammer pasukan.


Afiqah The Chaos Maker

Jurulatih dan pengurus pasukan memang tidak sabar-sabar untuk menunggu dan melihat hantaran bola oleh Norafiqah binti Alias. Keadaan mungkin adalah sebaliknya bagi pasukan lawan yang sentiasa berharap Afiqah tidak menghantar bola kepada mereka. Hal ini demikian kerana Afiqah mampu menghasilkan hantaran bola yang bakal mengkucar-kacirkan pasukan lawan. Bukan sedikit keadaan kucar kacir yang dialami oleh pasukan lawan kerana apabila bola yang dihantar oleh Afiqah sampai, mereka menjadi kebingungan, terjatuh ketika menyambut bola, bola bolos ketika disambut, pemain-pemain terkeluar dari posisi dan hantaran balas bola yang tidak tentu arah. Afiqah memang The Chaos Maker (Pengacau Bilau) yang hebat.


Suzzana The Bomber
(Terpilih sebagai calon pemain pasukan bola tampar Seremban Timur)

Gelaran The Bomber (Pengebom) diberikan kepada Siti Nur Suzzana binti Muhrin kerana sifat bolanya yang naik tinggi untuk mengelirukan pihak lawan, dan jatuh pada kelajuan yang tinggi, seperti sebiji bom yang dilepaskan oleh pesawat pengebom. Hanya dua keadaan yang boleh dipilih oleh pasukan lawan ketika cuba menyambut bola hantaran Suzanna; pertama, bertungkus lumus menyambut bola itu yang bagaikan mencari nahas dan tidak akan dapat disudahkan dengan baik, dan yang kedua, hanya membiarkan bola itu menghentam lantai serta menjadikan mereka ketinggalan satu mata lagi di belakang SMRA Rantau.


Najwa The Killer
(Terpilih sebagai calon pemain pasukan bola tampar Seremban Timur)

Tiada gelaran lain yang paling sesuai untuk diberikan kepada Nurul Najwa binti Ujang selain The Killer (Bola Pembunuh). Service bolanya mempunyai aura yang sangat kuat untuk membunuh keupayaan, pertahanan dan motivasi pihak lawan. Mengapa? Hal ini demikian kerana bola yang dihantar oleh Najwa akan bergerak betul-betul melewati jaring, pada kelajuan yang sangat tinggi dan terus menghentam kawasan berdekatan dengan base lain. Tidak ubah seperti sebuah peluru berpandu yang telah ditetapkan sasarannya. Apakah yang dirasai pihak lawan? Mereka hanya berdoa bola itu tidak terkena muka mereka dan merasa lebih selamat untuk membiarkan sahaja bola pancung hantaran Najwa.


Rohayu The Phantom

Rohayu binti Arifin
ialah seorang pemain yang amat dikagumi kebolehannya sehingga pengurus pasukan amat pasti yang jurulatih utama juga menghadapi masalah untuk menyambut service bola hantaran Rohayu. Gelaran The Phantom (Bola Hantu) amat sesuai untuknya kerana sifat bolanya yang naik pada kedudukan yang sangat tinggi (paling tinggi antara pemain-pemain) dan jatuh menjunam. Walau bagaimanapun, junaman itu bukan junaman biasa kerana trajektori bola seolah-olah berubah semasa berada di udara sehingga kebanyakan pemain lawan langsung tidak berdaya untuk menyambut bola hantaran Rohayu, oleh sebab agakan ambilan bola yang silap. Mungkinkah bola itu samar-samar ketika di udara, atau menjana imej tambahan sehingga menjadikannya sangat mengelirukan? Mungkin, kerana Rohayu mampu memberikan lebih daripada 5 mata straight untuk pasukan hanya dengan service bolanya.


Anisah The Mind Immobilizer

Misteri ini masih tidak dapat difahami oleh pengurus pasukan oleh sebab keupayaan yang dimiliki oleh Anisah binti Aziz. Beberapa bola hantarannya mungkin kelihatan biasa, namum tatkala bola menerjah kubu lawan, pemain pasukan lawan seolah-olah dikakukan sehingga tiada seorang pun yang bergerak dan bertindak untuk menyambut bola hantaran Anisah. Bertepatan dengan gelarannya The Mind Immobilizer (Penghenti Minda), minda pemain-pemain pasukan lawan seolah-olah dikakukan daripada bertindak. Kadang kala, ada pemain yang cuba menyambut bola hantaran Anisah dan kelihatannya cukup bersedia, namun bola terus bolos di celah kedua-dua tangan, gagal disambut.


Azwa The Defender

Apabila Nurzatul Azwa binti Yuzaimi masuk ke gelanggang, posisi yang diisinya terasa kebal. Hal ini demikian Azwa dengan mudah menggagalkan sebaran hantaran bola ke kawasannya. Azwa memang The Defender (Pelindung) yang hebat. Bagilah apa saja hantaran bola, hampir semuanya akan disambut kemas dengan senyuman di wajahnya. Tidakkan hal ini hanya menambahkan rasa sakit dan tidak berdaya kepada pasukan lawan? Pasukan lawan merasakan posisi Azwa dan kawasan jagaannya seperti sebuah kubu kebal yang memang tidak akan dapat ditembusi. Disebabkan itu jugalah, Azwa dianggap Claw Hammer pasukan oleh pasukan lawan.


Sarwah The Hidden Ghost

Sarwah Mukminah binti Moh Shin
mempunyai keupayaan melindungkan aura dirinya di sebalik sikapnya yang periang. Apabila beliau masuk ke gelanggang, ada pemain lawan yang tersenyum sinis. Walau bagaimanapun, mereka mungkin amat menyesal selepas itu kerana Sarwah mampu menghasilkan gerakan yang mengagumkan sehingga tiada siapa yang dapat menduga gerakan itu termasuk pengurus pasukan dan jurulatih utama. Tatkala pasukan dihujani tekanan, Sarwah akan bertindak untuk meletakkan pasukan kembali di hadapan. Gelaran The Hidden Ghost (Hantu Tersembunyi) memang kepunyaan Sarwah kerana jika auranya dilepaskan, pasukan lawan hanya mampu menggeletar melihat bola hantarannya.


Pengurus pasukan / Jurulatih:
En. Mohd Amirul Aizat bin Mohd Paiz



SMRA Rantau menggarang pada kemunculan sulung!

Selasa, April 1, 2008 - Hari ini merupakan hari perlawanan permainan bola tampar MSSM peringkat daerah Seremban Timur. Pertandingan yang diadakan di Center Court, Paroi, mengundang semua sekolah di dalam daerah Seremban Timur yang berminat untuk berentap di medan gelanggang bola tampar.

SMRA Rantau juga tidak terkecuali apabila dijemput untuk menghantar pasukan bola tampar bawah 15 tahun, bagi kedua-dua kategori lelaki dan perempuan. Setelah hampir sebulan para pemain berlatih untuk mempertingkat kecekapan masing-masing, akhirnya tibalah masa untuk membuktikan hasil usaha mereka selama ini sekaligus membawa nama SMRA Rantau untuk menggegar Center Court, Paroi.

Pasukan lelaki dan perempuan bertolak dari sekolah pada pukul 7.50 pagi dengan diiringi dua orang guru pengiring, En. Mohd Faizal bin Zainal (En. Faizal) dan En. Mohd Amirul Aizat bin Mohd Paiz (En. Amirul). En. Faizal ialah jurulatih utama yang melatih kedua-dua pasukan lelaki dan perempuan bola tampar SMRA Rantau dan juga pengurus pasukan lelaki, sementara En. Amirul ialah jurulatih pembantu yang juga pengurus pasukan perempuan. Dengan menaiki bas yang dipinjamkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, rombongan tiba di Center Court pada pukul 8.15 pagi, terlewat 15 minit daripada yang dijadualkan.

Syukur kepada Allah, walaupun sampai agak lewat, namun permainan masih belum dimulakan. Walau bagaimanapun, Center Court telah sesak dengan pemain-pemain bola tampar dari sekolah-sekolah di dalam daerah Seremban Timur. Kelihatan pelbagai aksi-aksi hebat yang dipamerkan oleh sekolah-sekolah yang gah namanya di arena bola tampar seperti Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar (SM Teknik TJ) dan lain-lain. Rasa gentar sedikit terpancar di wajah para pemain SMRA Rantau, namun mereka lebih bijak untuk mengawal rasa takut. Dengan inisiatif sendiri, mereka mencari tempat untuk meletakkan beg masing-masing, mengambil bola dan turun berlatih untuk memanaskan badan di tepi gelanggang.

Bersambung...